Sunday, March 4, 2007

Empat Syarikat Tawar Komunikasi Internet Terbaik








INDUSTRI tanpa wayar yang memastikan pengguna mengemaskini blog, memindah turun gambar ke laman web, berbual secara maya dengan rakan dan mencari lokasi restoran menggunakan telefon bimbit, kini mendapat sambungan pantas seperti yang diimpikan.


Ketua Penyelidik Informa Telecoms & Media, Mark Newman, berkata ketika industri komunikasi mudah alih semakin berkembang, banyak syarikat mencari model perniagaan baru kerana industri komunikasi mudah alih, internet dan telekomunikasi kini bergabung antara satu sama lain.

“Apa yang pasti adalah, telefon bimbit akan memainkan peranan penting dalam kehidupan sosial dan kerjaya kita pada masa depan,” katanya.

Dianggarkan pengguna telefon selular dunia berjumlah 2.2 bilion dan angka itu dijangka meningkat kepada tiga bilion dalam tempoh terdekat.

Bagi membolehkan penyatuan antara Internet dan telefon selular berlaku, beberapa syarikat antarabangsa seperti Vodafone, Yahoo, Microsoft dan Google bekerjasama menghasilkan aplikasi yang boleh dimanfaatkan dalam telefon selular.

Baru-baru ini, Vodafone memeterai perjanjian dengan Yahoo! Inc, Microsoft Corp dan Google Inc untuk menyediakan perkhidmatan berasaskan laman web seperti perbualan maya, blog peribadi dan pemetaan kepada penggunanya.

Vodafone dan Yahoo! bersetuju meluaskan kerjasama mereka dengan memasukkan perkhidmatan perbualan maya ke telefon bimbit dan komputer peribadi.

Perkhidmatan itu akan disepadukan dengan tujuan untuk mengurangkan jurang antara telefon bimbit dan komputer, termasuk menghantar mesej daripada satu laman web ke laman web lain.

Ketua Pemasaran Global Vodafone, Frank H Roevekamp, berkata syarikat mengumumkan akan menyatukan dunia mudah alih dan komputer peribadi kepada pelanggannya tahun lalu, sekali gus menawarkan komunikasi Internet terbaik kepada pelanggannya.

Pada masa sama, Naib Presiden Kanan Yahoo Connected Life, Marco Boerries, berkata perjanjian itu adalah tanda peningkatan kepentingan pasaran telefon mudah alih kepada gergasi laman web yang berpangkalan di California itu.

Katanya, usaha sama itu penting kerana telefon bimbit memainkan peranan penting kepada pengguna untuk berkomunikasi dan dan berhubung dengan komuniti Internet mereka.

“Gabungan kepakaran Vodafone dan Yahoo! bermakna kami akan mampu menyediakan pengalaman menarik dan bererti kepada pengguna sama ada di telefon bimbit atau komputer peribadi mereka,” katanya.

Beliau berkata, kesemua perkhidmatan itu dijangka ditawarkan dengan kos tambahan, tetapi bergantung kepada rangkaian dan sama ada terdapat harga dengan yuran kadar rata.

Dalam pada itu, Vodafone dan Microsoft berkata, kedua-dua syarikat sedang bekerjasama membangunkan perkhidmatan perbualan maya dwi-jenama yang boleh diakses daripada komputer peribadi dan telefon bimbit, menggunakan Windows Live Messenger.

Naib Presiden Kanan Microsoft’s Online Servives Group, Steve Berkowitz, berkata orang ramai mahu kekal berhubung dan sasaran syarikat adalah memberikan perkhidmatan mesra pengguna yang membolehkan mereka berhubung dengan individu.

Microsoft turut memasukkan aplikasi Live Search dalam telefon pintar Windows Mobile 6, Britain, menerusi model Nokia siri 40 dan 60.

Model lain yang akan memuatkan ciri teknologi pencarian global itu termasuk siri, Motorola RAZR dan SLVR, Samsung dan LG.

Google, yang dikatakan penganalisis sebagai ancaman kepada pengendali telefon mudah alih kerana saiz dan dominasi, mencapai kesepakatan dengan industri mudah alih di Persidangan GSM baru-baru ini, dengan melancarkan versi Java, program Google Maps yang boleh dimuat turun untuk Vodafone.

Naib Presiden Operasi Eropah, Asia Barat dan Afrika Google, Nikesh Arora, berkata sasaran syarikat adalah untuk membatu orang ramai mendapatkan maklumat yang dicari serta memberikan pelanggan Vodafone peluang untuk mencari lokasi ketika sedang mengembara adalah langkah penting.

Perkhidmatan carian bermula Disember lalu di Hungary tetapi akan diperluaskan ke seluruh pasaran Vodafone di Eropah tahun ini.

Laman web perkongsian video syarikat itu, YouTube, turut mensasarkan industri mudah alih. Awal minggu lalu, Nokia menjelaskan ia akan meletakkan video laman web itu ke telefon bimbitnya melalui pelayar web di laman telefon bimbit YouTube.

YouTube turut memeterai perjanjian dengan Vodafone yang akan menyaksikan pengguna di Britain, dapat mengakses laman web terbabit secara terus melalui telefon bimbit.

Sebagai salah satu perkhidmatannya, YouTube akan menyediakan koleksi pilihan harian video terbaru, yang mana pelanggan akan dapat menghantar penghubung video digemari mereka kepada rakan, memindah turun koleksi sendiri ke telefon bimbit dan mencari pelbagai kategori.

1 comment:

Anonymous said...

bagus la kalau mcm ni ya!