Monday, March 5, 2007

Trend Micro Perkenal Pakej Keselamatan Internet 2007






TREND Micro Malaysia Sdn Bhd (Trend Micro), syarikat yang terbabit dalam penyediaan rangkaian antivirus, perisian keselamatan kandungan internet dan perkhidmatan, memperkenalkan perisian pakej keselamatan internet versi 2007 khususnya untuk pengguna tempatan.
Pelancaran pakej keselamatan internet 2007 itu turut dilengkapi dengan enjin PC cillin Trend Micro, perlindungan anti malware dan ciri perlindungan yang diperkenalkan dalam industri bagi berhadapan dengan ancaman internet masa kini. Antara ancaman internet yang dihadapi pengguna pada masa kini adalah rootkits, spyware, phishing, spam, penggodam, virus, serangan WiFi serta telefon pintar dan masalah kecurian identiti pemilik. Pengarah Pemasaran Serantau Asia Pasifik segmen Pengguna/SoHo Trend Micro Pte Ltd, Eric Chong, berkata pakej keselamatan 2007 yang ditawarkan kepada pengguna serta pejabat kecil dan pejabat kediaman (SoHo) itu turut menyediakan nilai kepada pasaran apabila pengguna diperkenalkan dengan model langganan yang lebih berkesan. Beliau berkata, model langganan terbabit tidak memerlukan pemilik pakej itu untuk menunggu sepanjang tahun bagi mendapatkan ciri peningkatan pakej keselamatan internet terbabit. “Pemiliknya akan dimaklumkan pada setiap masa berhubung perkhidmatan baru yang ditawarkan termasuk ciri terkini lain yang disediakan. “Mereka boleh mendapatkannya menerusi proses muat turun di portal web TrendSecure tanpa dikenakan kos tambahan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Chong berkata, perkhidmatan TrendSecure turut dilengkapi dengan aspek keselamatan penguncian maklumat dalaman yang dilakukan secara inskripsi apabila aset digital dicuri atau hilang. Trend Micro turut menyediakan ciri sokongan panggilan telefon tanpa had ke pusat perkhidmatannya untuk pasaran di negara ini termasuk ke peringkat global. Menerusi versi 2007 itu, ia turut dilengkapi dengan aspek peningkatan keselamatan bagi fail dan data digital serta menyediakan perlindungan daripada kecurian identiti peribadi yang tidak terhad kepada kecurian siber tetapi termasuk kehilangan komputer notebook. Ia menawarkan khidmat pelanggan secara percuma dan memastikan sambungan yang lebih selamat disediakan kepada sistem hotel, lapangan terbang, gerai komputer awam dan lokasi kesediaan WiFi. Selain itu, pakej keselamatan internet 2007 itu mempunyai ciri perlindungan kediaman termaju seperti berkemampuan menapis kandungan web, aspek keupayaan firewall untuk peribadi dan pengurusan secara berpusat. Pakej yang dilengkapi dengan TrendSecure, Trend Micro itu mempunyai perkhidmatan keselamatan dalam talian yang boleh digunakan sama ada di rumah atau di mana-mana saja di dunia. Yuran langganan tahunan yang ditawarkan bagi perisian keselamatan internet Trend Micro 2007 dan dilengkapi bersama TrendSecure itu adalah RM188.

Nokia E-Series Pertingkat Keupayaan




NOKIA memperkenalkan model terkini E-Series yang mampu meningkatkan keupayaan sambungan internet dalam industri telefon mudah alih serta mengubah gaya hidup pengguna yang menggunakan teknologi mudah alih bagi tujuan seharian.


Presiden dan Ketua Eksekutif Nokia, Olli-Pekka Kaliasvuo, berkata pada masa ini, teknologi mudah alih dan internet berkait rapat dan sebagai peneraju industri, pengeluar telefon mudah alih itu mahu melihat gabungan antara kedua-dua teknologi itu mencetuskan revolusi baru. “Nokia menjangkakan pengguna telefon bimbit akan mencecah angka tiga bilion tahun ini, yang mana pengguna di rantau Asia Pasifik menyumbang sebahagian besar daripada jumlah terbabit,” katanya ketika menghadiri Kongres 3GSM Sedunia di Barcelona, baru-baru ini. Katanya, teknologi terkini seperti televisyen mudah alih, pelayaran, e-mel mudah alih dan pengurusan e-dokumen bukan hak milik mutlak pengguna di negara maju kerana Nokia mencipta peranti yang mampu mengubah gaya hidup pemilik telefon bimbit. Nokia melancarkan tiga model telefon bimbit di bawah rangkaian E-Seris iaitu model Nokia e61i yang dilengkapi peranti e-mel, Nokia E65 dan Nokia E90 Communicator yang dilengkapi semua keperluan perniagaan berteknologi tinggi. Kaliasvuo berkata, kesemua model itu direka dengan mengguna pakai perkhidmatan generasi ketiga (3G) dan teknologi sambungan rangkaian setempat tanpa wayar (WLAN) menggunakan tapak perisian S60 yang fleksibel. Kesemua model terbabit dilengkapi kamera binaan dalam berkualiti tinggi. Nokia E65 sudah mula berada di pasaran terpilih dan akan mula dijual secara meluas pada suku pertama tahun ini manakala Nokia E61i dan Nokia E90 Communicator akan menjengah pasaran menjelang suku kedua tahun ini. Pada kongres itu, Nokia turut mengumumkan pelancaran Nokia Intellisync Mobile Suite 8.0, satu tapak penyediaan paling fleksibel dalam industri telefon mudah alih. Ia menyediakan kemudahan e-mel, pengurusan fail selaras dengan ciri keselamatan mantap dan kemampuan pengurusan peranti bagi produk di bawah Nokia E-Series serta lebih 100 model lain. Perisian itu dilengkapi ciri-ciri model perlesenan dia peringkat, paparan muka mesra pengguna, peningkatan keupayaan keselamatan telefon mudah alih dan sokongan pelbagai bahasa serta sambunga, Selain model E-Series, Nokia turut memperkenalkan Nokia 6110 Navigator yang dilengkapi teknologi pelayaran pasaran besar bagi tujuan perkhidmatan mengesan lokasi. Model itu menggunakan teknologi Sistem Pengesan Global (GPS) bersepadu yang membolehkan pengguna mengenalpasti lokasi dengan pantas dan mudah pada peta, mencari destinasi, laluan spesifik atau mengesan perkhimatan terdekat seperti hotel, restoran atau kedai. Ia dilengkapi ciri-ciri pelayar tiga dimensi (3D) boleh putar sepenuhnya dan menggunakan arahan suara atau visual pada peta. Model ini akan berada di pasaran pada suku kedua tahun ini.

SPESIFIKASI

Model Nokia E61i

Paparan: 1.8 inci X 0.7 inci X 5.0 inci
Warna: 16.7 juta QVGA warna (320 X 240 piksel)
Berat: 114 gram
Tebal: 16mm
Perkhidmatan: 3G, WLAN, Kamera Digital
Sistem bunyi: Sistem bunyi digital piawai disokong Mp3
Mesej: SMS, EMS, MMS
Sambungan: WAP 2.0
Storan: 30MB

Model Nokia E65

Paparan: 1.9 inci X 0.7 inci X 4.5 inci
Warna: 16.7 juta QVGA warna (320 X 240 piksel)
Berat: 118 gram
Tebal: 16mm
Perkhidmatan: 3G, WLAN, Kamera Digital 2 Megapiksel
Sistem bunyi: Sistem bunyi digital piawai disokong Mp3
Mesej: SMS, EMS, MMS
Sambungan: WAP 2.0
Storan: 70MB storan dalaman, format kad memori MicroSD 2GB