Monday, March 5, 2007

Trend Micro Perkenal Pakej Keselamatan Internet 2007






TREND Micro Malaysia Sdn Bhd (Trend Micro), syarikat yang terbabit dalam penyediaan rangkaian antivirus, perisian keselamatan kandungan internet dan perkhidmatan, memperkenalkan perisian pakej keselamatan internet versi 2007 khususnya untuk pengguna tempatan.
Pelancaran pakej keselamatan internet 2007 itu turut dilengkapi dengan enjin PC cillin Trend Micro, perlindungan anti malware dan ciri perlindungan yang diperkenalkan dalam industri bagi berhadapan dengan ancaman internet masa kini. Antara ancaman internet yang dihadapi pengguna pada masa kini adalah rootkits, spyware, phishing, spam, penggodam, virus, serangan WiFi serta telefon pintar dan masalah kecurian identiti pemilik. Pengarah Pemasaran Serantau Asia Pasifik segmen Pengguna/SoHo Trend Micro Pte Ltd, Eric Chong, berkata pakej keselamatan 2007 yang ditawarkan kepada pengguna serta pejabat kecil dan pejabat kediaman (SoHo) itu turut menyediakan nilai kepada pasaran apabila pengguna diperkenalkan dengan model langganan yang lebih berkesan. Beliau berkata, model langganan terbabit tidak memerlukan pemilik pakej itu untuk menunggu sepanjang tahun bagi mendapatkan ciri peningkatan pakej keselamatan internet terbabit. “Pemiliknya akan dimaklumkan pada setiap masa berhubung perkhidmatan baru yang ditawarkan termasuk ciri terkini lain yang disediakan. “Mereka boleh mendapatkannya menerusi proses muat turun di portal web TrendSecure tanpa dikenakan kos tambahan,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Chong berkata, perkhidmatan TrendSecure turut dilengkapi dengan aspek keselamatan penguncian maklumat dalaman yang dilakukan secara inskripsi apabila aset digital dicuri atau hilang. Trend Micro turut menyediakan ciri sokongan panggilan telefon tanpa had ke pusat perkhidmatannya untuk pasaran di negara ini termasuk ke peringkat global. Menerusi versi 2007 itu, ia turut dilengkapi dengan aspek peningkatan keselamatan bagi fail dan data digital serta menyediakan perlindungan daripada kecurian identiti peribadi yang tidak terhad kepada kecurian siber tetapi termasuk kehilangan komputer notebook. Ia menawarkan khidmat pelanggan secara percuma dan memastikan sambungan yang lebih selamat disediakan kepada sistem hotel, lapangan terbang, gerai komputer awam dan lokasi kesediaan WiFi. Selain itu, pakej keselamatan internet 2007 itu mempunyai ciri perlindungan kediaman termaju seperti berkemampuan menapis kandungan web, aspek keupayaan firewall untuk peribadi dan pengurusan secara berpusat. Pakej yang dilengkapi dengan TrendSecure, Trend Micro itu mempunyai perkhidmatan keselamatan dalam talian yang boleh digunakan sama ada di rumah atau di mana-mana saja di dunia. Yuran langganan tahunan yang ditawarkan bagi perisian keselamatan internet Trend Micro 2007 dan dilengkapi bersama TrendSecure itu adalah RM188.

No comments: