Wednesday, March 7, 2007

Evolusi baru cip prosesor Intel





INTEL Corp (Intel), gergasi pengeluar utama cip komputer dunia, mereka bentuk cip pemprosesan yang mampu membuat pengiraan menyamai kepantasan semua komputer yang ada di pusat data tetapi hanya menggunakan tenaga dengan kekuatan mentol.
Intel menghasilkan cip prosesor yang mampu melaksanakan satu juta kiraan sesaat atau prestasi pada kekuatan 1.01 teraflops, menggunakan kekuatan tenaga 52 watt pada frekuensi 3.16 GHz. Ia menyamai kekuatan supercomputer yang ditempatkan di Makmal Kebangsaan Sandia, ia memerlukan ruang sebesar 180 meter persegi, memanfaatkan 10,000 prosesor Pentium Pro menggunakan lebih 500 kilowatt tenaga elektrik. Cip berkenaan yang masih lagi pada peringkat penyelidikan memberikan evolusi baru kepada semua pihak terutama pihak industri yang memerlukan prestasi tinggi tetapi pada masa yang sama menggunakan tenaga yang rendah. Sebelum ini, syarikat semikonduktor memberikan lebih tumpuan kepada penghasilan cip pemprosesan yang pantas dan kitaran pemprosesan pantas atau jam kelajuan tanpa menghiraukan lebihan tenaga yang terhasil. Namun perubahan itu mula ketara, beberapa tahun kebelakangan, keseimbangan antara prestasi dan kecekapan mula dianggap penting. Bulan lalu, Intel dan International Business Machines Corp (IBM), mengumumkan secara berasingan yang mana kedua-dua syarikat sudah mewujudkan kaedah yang cekap dan bahan penting di dalam transistor yang mula menunjukkan kebocoran apabila litar cip semakin mengecil. Penemuan berkenaan meningkatkan lagi saingan antara Intel dan pesaing terdekatnya, Advanced Micro Devices Inc (AMD). Ketua Teknologi Intel, Justin Rattner ketika mengulas pencapaian berkenaan, berkata Intel berhasrat meningkatkan kemampuan cip berkenaan pada tahap lebih tinggi dan itu yang memberikan motivasi kepada pereka dan jurutera Intel. Kelebihan cip berkenaan ialah, kaedah yang diperkenalkan Intel untuk meletakkan 80 enjin teras untuk proses pengiraan dalam satu lapisan nipis silikon berbanding ketika ini antara dua hingga empat enjin teras. Teras itu lebih kecil daripada yang ada di dalam cip keluaran Intel sekarang. Cip terbabit memiliki 100 juta transistor di dalamnya iaitu satu pertiga daripada bilangan cip yang ada di dalam cip Intel sekarang. Pengguna bagi cip berkenaan ialah pusat data korporat, supercomputer, prasarana komunikasi, penyelidikan saintifik dan syarikat kewangan. Intel mencadangkan ia digunakan dalam bidang media penyiaran, iaitu program pintar yang dapat memantau siaran televisyen dan merakamkan aksi atau babak menarik dalam siaran berkenaan berdasarkan minat penonton. Selain itu, ia boleh dimanfaatkan bagi penggunaan dalam bidang kepintaran buatan, model komputer tiga dimensi dan pengenalan suara pada masa nyata.

No comments: