Thursday, March 8, 2007

Pesta gajet di MidValley




Kini gajet, gizmos dan alat telekomunikasi canggih telah menjadi sebahagian daripada fesyen masa kini. Mendengar muzik dengan pemain MP4, mencetak gambar dengan pantas menggunakan kamera digital terkini dan pencetak atau berkomunikasi melalui telefon mudah alih 3G merupakan satu gaya hidup.

Kini teknologi memberikan inspirasi, inovasi dan mempengaruhi kehidupan manusia seharian bukan saja tokoh korporat malahan kanak-kanak sekolah.

Bagi mengikuti perkembangan gaya terkini pusat membeli belah Mid Valley Megamall mengadakan pameran gajet dan peralatan digital sempena Minggu Promosi Dunia Digital yang berlangsung mulai semalam hingga 11 Mac ini.

Bertemakan Objects of Desire pameran ini akan mempamerkan teknologi pintar, hebat dan bergaya yang bakal memikat hati pengunjung.

Bertempat di Centre Court, Tingkat Bawah seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2007, IT World bekerjasama mempromosikan Visit Malaysia Cyber Campaign - World’s FIRST, di mana semua individu dari serata ceruk datang bagi mempromosikan negara mereka dengan usaha sama melalui Internet.

Pembeli juga boleh mengambil bahagian dalam Most E-Cards Sent Challenge di mana mereka bukan saja boleh melihat, mengalami sendiri malah memenangi produk dan teknologi pertama dunia seperti:

* Lenovo Y300 iaitu komputer buku pertama dunia yang dilengkapi dengan teknologi pengecaman wajah

* CAL-LAB iaitu teknologi mengasingkan kilat terbukti pertama di dunia

* O2 PC Pocket berkeupayaan 3G dengan papan kekunci QWERTY pertama di dunia

* Edisi terhad pertama telefon Skype DECT Tahun Melawat Malaysia

Bagi mereka yang taksub terhadap komputer, jangan lupa melawat gerai Acer oleh IT World di pintu masuk Timur Atrium.

Anda boleh menjadi orang pertama memiliki monitor LCD Acer Vista-certified yang menyokong Windows Vista.

Sony Ericsson bakal mempamerkan model terkini dari beberapa siri fon walkman W950i yang nipis dan di gerai Nokia pula, pengunjung boleh belajar lebih lagi mengenai N-Series.

Dan bagi mereka yang meminati sesuatu yang ringan untuk dibawa ke mana-mana apa kata melawat ke gerai Samsung bagi membelek-belek rangkaian Ultra Edition II.

Tidak ketinggalan, pembekal perkhidmatan telekomunikasi DiGi dan Maxis yang akan memberikan nasihat profesional bagi penyelesaian terbaik bagi sebarang masalah rangkaian.

Bagi mereka yang ingin merakamkan gambar, apa kata singgah ke tapak jualan kamera, di sana anda akan dijamu dengan pelbagai jenama dari Sony, Olympus, Nikon, Panasonic, Pentax dan Nikon.

Satu lagi kawasan yang harus dilawati terutama oleh peminat permainan video semasa Digital Week adalah zon interaktif oleh Mission World di Tingkat 3.

Jom rasai kehebatan bertarung di dunia visual dengan Nintendo Wii, Nintendo NDS Lite, Game Boy, PSP, PS3 dan x-box 360.

No comments: