Wednesday, March 7, 2007

Permainan video untuk telefon 3G

BOLEH dikatakan setiap jenama telefon bimbit dilengkapi dengan fungsi permainan video pada peringkat asas sebagai pelengkap spesifikasi gajet masing-masing.

Namun tidak ramai pengguna telefon bimbit yang begitu menikmati permainan video ini kerana ia agak membosankan selain tidak banyak pilihan permainan video yang menarik.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi telekomunikasi terutamanya teknologi generasi ketiga (3G) bakal membawa permainan video telefon bimbit ini menjadi medium multimedia yang paling menghiburkan.

Ia bakal dibuktikan menerusi usaha syarikat penyedia kandungan interaktif telefon bimbit tempatan iaitu MNC Wireless Berhad (MNC) yang memperkenalkan permainan video telefon bimbit yang boleh dimainkan oleh beberapa pemain secara masa sebenar.

Dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat permainan video dari Singapura, Nexben Studio, permainan video yang dikenali sebagai Elven Legends itu membolehkan pengguna telefon bimbit 3G merasai pengalaman bermain video di telefon bimbit pada kualiti komputer atau televisyen.

Menariknya, permainan video yang dikenali sebagai Elven Legends itu juga boleh dimainkan oleh sehingga tujuh orang pemain secara masa sebenar bukan sahaja menerusi telefon bimbit tetapi komputer.

Ketua Pegawai Eksekutif MNC, Jasmine Lee Sze Inn berkata, Elven Legends yang dibangunkan tahun lalu merupakan permainan video 3G pertama seumpamanya pernah dibangunkan.

‘‘Ia bakal membawa revolusi baru dalam dunia permainan video telefon bimbit yang sebelum ini hanya boleh dimainkan oleh pemiliknya tetapi kini boleh dimainkan oleh beberapa pemain di seluruh dunia,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengambil tema permainan video yang paling banyak dimainkan ketika ini iaitu peperangan satria zaman silam menentang kejahatan, Elven Legends turut membariskan beberapa pilihan pahlawan yang boleh dimainkan.

Pahlawan itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Forest Elves, Dark Elves dan Great Elves dan pemain akan bertarung sesama sendiri sehingga ke satu peringkat tertinggi.

Pemain juga boleh membentuk identiti pahlawan mereka sendiri seperti pakaian, kawasan, senjata dan sihir dengan memilih ciri-ciri berkenaan yang telah disediakan.

Sepanjang pertarungan itu, juga pemain berpeluang meningkatkan kuasa mereka menerusi senjata atau sihir yang diperoleh sebagai ganjaran serta pelbagai spesifikasi permainan lain termasuk peta dan emotikon yang menarik.

Selain menikmati keseronokkan bermain permainan video, pengguna juga boleh menghantar pesanan teks serta bergambar MMS sesama pemain untuk berkomunikasi sepanjang permainan.

Menurut Jasmine, Elven Legends juga telah diperkenalkan kepada telko di negara ini dan mendapat reaksi positif untuk diperkenalkan kepada pengguna 3G telko masing-masing.

Ia dijangka menarik peminat permainan video yang kini boleh memainkannya sepanjang masa malah boleh bertarung dengan pemain di serata dunia.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nexgen Studio, Alvin Yap berkata, permainan video Elven Legends yang dibangunkan dengan kerjasama universiti terkemuka Singapura itu turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat permainan video ketika diperkenalkan di negara berkenaan.

Mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk dibangunkan, Elven Legends ujar beliau turut mendapat sambutan menggalakkan daripada telko seluruh dunia ketika di perkenalkan di Forum Evolusi 3G Global yang berlangsung di Tokyo, baru-baru ini.

‘‘Sambutan positif juga diterima daripada telko di Korea Selatan dan Eropah sekali gus bakal memperluaskan jaringan permainan video 3G secara masa sebenar ini untuk dimainkan di seluruh dunia,” ujar beliau.

Permainan video 3G Elven Legends ini juga sedang dibangunkan bagi membolehkan ia dimainkan di konsol seperti Xbox dan Play Station serta menerusi TV kabel dan akan diperkenalkan secara rasmi di negara ini pertengahan tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai permainan video ini boleh diperoleh dengan melayari laman web www.elvenlegends.com.

No comments: